
Beliau berkata, setakat ini projek tanaman bawang rose diusahakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menunjukkan prestasi baik dengan kemampuan tuaian hasil kira-kira empat tan per ekar.
Mohamad berkata, pihaknya akan mula mengedarkan benih bawang rose berkenaan sama ada hujung tahun ini atau tahun depan untuk diusahakan oleh mereka yang berminat, bagi mencapai sasaran itu.
“Malaysia mengimport sebanyak 484,867 tan metrik bawang pada nilai RM902.5 juta pada 2021 bagi memenuhi permintaan pengguna. India menjadi pembekal bawang terbesar di Malaysia sebanyak 57%, diikuti China (20%) dan Pakistan (11%).
“Jadi, kalau kita mampu sediakan 30%, iaitu bawang kecil (bawang rose) ini, maka kita akan jimat RM300 juta untuk kita import tanaman ini ke dalam negara,” katanya selepas melawat tapak projek tanaman bawang rose ehsan PKPS di Selangor Fruit Valley.
Beliau berkata, selain PKPS negeri lain yang menunjukkan perkembangan baik bagi penanaman bawang ialah Pulau Pinang dan Kelantan.
“Kita juga dalam usaha melihat beberapa negeri lain yang sesuai (untuk penanaman bawang), cuma kini agensi kajian kita sedang melihat bagaimana untuk kita tanam bawang besar pula,” katanya.