Mpox: KKM kenal pasti 1 kes baharu

Mpox: KKM kenal pasti 1 kes baharu

Kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes Mpox di negara ini 12 kes sejak Julai 2023.

kkm fmt
KKM kata semua kes Mpox di negara ini sejak 2023 merupakan ‘clade II’, yang mempunyai kadar kematian lebih rendah.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu kes baharu jangkitan cacar monyet atau Mpox dilaporkan semalam, melibatkan seorang lelaki warganegara berusia 24 tahun.

KKM memaklumkan pesakit berkenaan terlibat dalam aktiviti berisiko dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari.

“Pesakit telah mendapatkan rawatan pada 10 Jan, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital,” menurut kenyataan.

Kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Mpox di negara ini sebanyak 12 kes sejak Julai 2023, melibatkan sembilan kes pada 2023, dua kes pada 2024, dan satu kes tahun ini dengan semua kes merupakan ‘clade II’.

Virus Mpox ‘clade I’ dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10% manakala ‘clade II’ mempunyai kadar kematian lebih rendah.

Menurut KKM, pihaknya terus memantau situasi Mpox di dalam serta luar negara, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan rasmi terus daripada saluran sahih dengan mengikuti akaun media sosial KKM dan soalan lazim (FAQ) berkenaan Mpox boleh dicapai di pautan mpox.moh.gov.my/ms/soalan-lazim,” menurut kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.