Cuepacs mahu runding bukan piket selesai kemelut pekerja Suhakam

Cuepacs mahu runding bukan piket selesai kemelut pekerja Suhakam

Presiden Cuepacs Adnan Mat menegaskan akan membawa isu berkenaan untuk rundingan bersama Suhakam bagi mencari jalan penyelesaian.

adnan
Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata meminta pengerusi Suhakam dan Jabatan Perdana Menteri memberi ruang untuk proses rundingan bagi mengelakkan isu itu berterusan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata tindakan piket bukanlah keutamaan ketika ini, sebaliknya kaedah rundingan boleh dilakukan bagi menyelesaikan kemelut melibatkan kebajikan pekerja Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Terdahulu hari ini, pekerja Suhakam menangguhkan piket dirancang di depan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur kerana didakwa tidak berpuas hati dengan kenaikan gaji tiga timbalan setiausaha Suhakam, dan pengecualian pekerja daripada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presiden Kesatuan Sementara Kesatuan Pekerja-Pekerja Suhakam (KPPSHM), Elza Nadiah Shaik Sulaiman berkata pihaknya memutuskan menangguhkan piket selepas perbincangan diadakan dengan Presiden Cuepacs Adnan Mat, yang memberi jaminan akan campur tangan.

Adnan dalam kenyataan berterima kasih kepada pekerja yang mendengar nasihatnya, dan pada masa sama menegaskan akan membawa isu berkenaan untuk rundingan bersama Suhakam bagi mencari jalan penyelesaian.

“Cuepacs memohon pengerusi Suhakam dan Jabatan Perdana Menteri dapat memberi ruang terbuka supaya proses rundingan dapat dilakukan segera bagi mengelakkan isu ini berterusan dan tidak mencapai titik persefahaman.

“Dalam masa yang sama Cuepacs menyeru semua warga kerja Suhakam untuk terus berkhidmat seperti biasa dan dengan penuh profesional sementara rundingan dapat dijalankan dengan baik serta harmoni,” katanya.

Semalam, Persatuan Solidariti Buruh dan Sumber Pembelajaran menggesa campur tangan kerajaan kerana Suhakam memerlukan lebih banyak sokongan belanjawan bagi memastikan pekerja menerima gaji dan faedah sama seperti penjawat awam di bawah SSPA.

Setiausaha Agungnya, Gopal Kishnam Nadesan, berkata persatuan itu menyokong penubuhan kesatuan sekerja Suhakam.

Suhakam dalam maklum balasnya berkata, ia masih mengkaji kebolehsesuaian skim emolumen baharu kerajaan.

Menurutnya, ia selaras keseluruhan program penstrukturan organisasinya yang bermula tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.