
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dalam prosiding hari ini berkata, dokumen itu akan digunakan dalam perbicaraan akan datang.
Setakat ini, katanya, tiada lagi dokumen akan diserahkan kepada pihak pembelaan yang mewakili ibu bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Beliau berkata, senarai saksi dan pernyataan saksi, jika ada akan diserahkan kepada peguam sebelum perbicaraan melalui e-mel.
“Susulan itu, kami memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan bermula 3 Feb depan dikekalkan,” katanya menurut Sinar Harian.
Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan itu mengesahkan penerimaan laporan kimia dan cakera padat berkenaan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Dr Syahliza Warnoh mengekalkan tarikh perbicaraan kes.
Mahkamah sebelum ini melapangkan tarikh perbicaraan 20 hingga 24 Jan dan akan bermula 3 hingga 7 serta 17 hingga 21 Feb dan 10 hingga 14 Mac ini.
Pada 13 Jun 2024, suami isteri berusia 30 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari 5 Dis 2023 hingga 9.55 malam keesokannya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.