Natasha cipta sejarah juarai piala dunia boling di Hong Kong

Natasha cipta sejarah juarai piala dunia boling di Hong Kong

Atlet itu tamat kemarau 53 tahun dalam kategori individu wanita selepas menumpaskan wakil Jerman, Birgit Noreiks.

Natasha Mohamed Roslan merangkul gelaran dunia ketiga selepas kejayaan terakhir pada Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 di Kuwait. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Natasha Mohamed Roslan sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi atlet boling wanita pertama negara merangkul kejuaraan Kejohanan Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong malam ini.

Pemenang pingat emas Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 itu sekali gus menamatkan kemarau 53 tahun negara tanpa kejuaraan kategori individu wanita di kejohanan berkenaan sejak dipertandingkan pada 1972.

Atlet berusia 28 tahun itu menewaskan peserta Jerman, Birgit Noreiks 217-166, 226-169 pada aksi final.

Ia juga menjadi koleksi gelaran dunia ketiga buat atlet kelahiran Selangor itu selepas mengungguli Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait dan menjuarai kejohanan sama dalam acara berpasukan wanita bersama Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Datuk Shalin Zulkifli pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Terdahulu, Natasha menewaskan Daphne Tan dari Singapura dengan keputusan 244-196, 213-216, 187-181 pada separuh akhir.

Sementara itu, dalam final individu lelaki, bekas juara dunia 2018 Muhammad Rafiq Ismail terlepas kejuaraan kepada wakil China, Du Jian Chao.

Pemain berusia 27 tahun itu memenangi pusingan pertama namun gagal mengekalkan momentum pada pusingan kedua dan ketiga.

Pertandingan berakhir dengan keputusan 223-222, 166-216 dan 193-235.

Kali terakhir Malaysia menjuarai kejohanan sama adalah pada edisi 2012 menerusi Syafiq Ridhwan Abdul Malik di Wroclaw, Poland.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.