
Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata #GrabBersamaMalaysia menzahirkan komitmen penyedia teknologi itu untuk memainkan peranan memacu negara, dengan platform yang membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU, wanita, dan komuniti setempat dalam ekonomi gig.
“Matlamatnya mudah: untuk membina masa depan di mana semua orang, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, mempunyai peluang untuk berkembang maju,” katanya.
Pemberdayaan OKU
Foo menarik perhatian kepada kadar guna tenaga OKU secara keseluruhan masih rendah berbanding populasi OKU berdaftar, iaitu lebih 10,000 orang menyertai tenaga kerja daripada lebih 674,000 orang, dalam tempoh 2022 hingga pertengahan 2023.
Katanya penyertaan OKU dalam tenaga kerja merupakan perkembangan yang baik, namun kadar guna tenaga yang rendah menonjolkan jurang yang ketara. “Kami melihat perkara ini sebagai seruan untuk mempertingkatkan usaha, dengan menyediakan peluang yang ketara di samping meningkatkan kesedaran,” katanya.
Foo berkata komitmen Grab Malaysia adalah pada menyediakan bantuan dan latihan yang direka khas agar rakan OKU Grab boleh memanfaatkan teknologi dan platform Grab untuk menjana pendapatan.
“Grab juga menyokong OKU dengan menyediakan inisiatif bantuan kewangan, seperti pengurangan kadar komisen untuk rakan-pemandu OKU kami. Sokongan ini membantu meringankan beban kewangan mereka dan membolehkan mereka terus menyumbang kepada ekonomi,” katanya.
Beliau mengambil contoh Johor, yang mana Grab menyediakan platform bagi 100,000 rakan-pemandu dan rakan-penghantar tempatan peroleh pendapatan termasuk lebih 400 OKU, sejak dilancarkan pada 2013.
Secara lebih meluas, lebih 3,100 OKU di serata Asia Tenggara memanfaatkan peluang pendapatan bersama Grab.
“Bersama-sama, kami berharap dapat membantu lebih ramai OKU mencapai kemandirian kewangan,” katanya.

Pemberdayaan wanita
Di samping menyokong OKU, Foo menarik perhatian kepada jurang jantina dalam ekonomi gig Malaysia, di mana penyertaan wanita masih rendah meskipun golongan ini berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dengan ketara.
Menurut Foo, pada ketika ini lelaki membentuk 62% daripada anggaran 1.12 juta pekerja gig, dan 68% dalam perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran.
Satu inisiatif utama Grab Malaysia dalam pemberdayaan wanita menerusi platformnya ialah program #SisBoleh, yang menyediakan kemahiran dan pengetahuan kepada rakan kongsi wanita untuk peroleh pendapatan.
Ciri keselamatan seperti “Share My Ride” dan “AudioProtect” direka untuk memberikan wanita ketenangan semasa bekerja, tambahnya.
“Sejak 2021, kami menyaksikan peningkatan sebanyak 156% dalam bilangan rakan-pemandu dan rakan-penghantar wanita, dan kami amat berbangga dengan pertumbuhan luar biasa ini,” katanya.

Menyokong usahawan
Melangkah ke 2025, Grab meluaskan fokus kepada sektor pelancongan, yang menyumbang 15.1% kepada KDNK pada 2023, bersamaan RM275.8 billion.
“Apa yang menarik adalah 65% pengembara menggunakan aplikasi Grab semasa melawat Malaysia,” katanya, yang berkata perkara ini menekankan peranan unik Grab dalam pengalaman para pelancong.
Justeru, bagi menjana pertumbuhan ini, Grab memperkenalkan ‘Grab Tourist Pack‘ , yang memudahkan pengembara menikmati penjimatan.
Setiap interaksi dengan platform Grab secara langsung memberi manfaat kepada rakan-pemandu dan rakan-niaga Grab dengan pertambahan pelanggan, katanya.
“Perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) membentuk 67% daripada jumlah GrabFood dan ‘GrabMart Gross Merchandise Value’ (GMV) di Asia Tenggara, dan kami komited menyokong kejayaan mereka.
“Di Terengganu sahaja, bilangan PMKS yang berdaftar dengan Grab semakin bertambah, dengan pendaftaran baharu meningkat 20% tahun ke tahun. Lebih separuh daripada PMKS tempatan ini mengekalkan taraf 5 bintang, berdasarkan penilaian jutaan kaki makan.”
Dalam pada itu, Foo berkata Grab Malaysia faham bahawa semua komitmen ini bersekali dengan cabaran besar yang harus ditangani secara bersama.
“Itulah sebabnya kami amat komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, industri dan komuniti tempatan,” katanya.