Dah suarakan pandangan, exco Pemuda Bersatu nafi ‘menikus’

Dah suarakan pandangan, exco Pemuda Bersatu nafi ‘menikus’

Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin berkata beliau tidak berdiam diri seperti didakwa Muhammad Hilman Idham.

Hilman Idham
Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin berkata beliau tidak berdiam diri seperti didakwa Muhammad Hilman Idham.
PETALING JAYA:
Exco Pemuda Bersatu Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin menempelak Ketua Muhammad Hilman Idham yang mendakwanya ‘menikus’ ketika mesyuarat sayap diadakan.

Sebaliknya, Wan Meor berkata beliau pernah menyuarakan pendapat berhubung pengurusan parti dalam perjumpaan pertama dan sesi perbincangan sebelum ini.

“Tak berdiam diri seperti yang didakwa (Hilman). Sebagai salah seorang pemimpin Pemuda (Bersatu), saya ada tanggungjawab dan hak untuk menyuarakan perkara yang tak betul,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan Wan Meor menyusul selepas Hilman beri amaran supaya bekas setiausaha kerja sayap di era pentadbiran Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu ‘berhenti mengajar’ cara menguruskan organisasi tersebut, dan menyerahkan segala dokumen pentadbiran.

Mengulas lanjut, Wan Meor berkata pertemuan mahupun perbincangan sudah diadakan secara aktif antaranya dengan Naib Ketua Pemuda Muhammad Faiz Rahmad yang juga penolong setiausaha semasa sejak Disember.

“Saya telah bantu dan beri nasihat apabila perlu. Adakah mereka benar-benar berkomunikasi antara satu sama lain? soalnya.

Terdahulu, Wan Meor mendakwa pengurusan sayap bawah Hilman tidak menggambarkan amalan pentadbiran baik yang berisiko menggugat strukturnya.

Beliau turut meletakkan jawatan ketua biro profesional dan sukarelawan Bersatu pada 5 Jan lalu namun mengekalkan jawatan sebagai exco Pemuda tanpa portfolio, berikutan perbezaan pendiriannya dengan Hilman.

Wan Meor bagaimanapun akan terus menjalankan peranan dan tugas sebagai exco tanpa portfolio dengan fokus memberdayakan dan memaksimumkan potensi, tenaga dan bakat ahli sayap Pemuda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.