
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Mohd Rosli Abdullah, berkata penggunaan teknologi AI bukan sahaja akan meningkatkan keberkesanan operasi, tetapi juga menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam menjamin kesejahteraan negara.
“AI adalah satu pendekatan baharu yang perlu diberikan perhatian oleh semua warga Maritim Malaysia, khususnya pengurusan atasan agensi ini.
“Ini kerana AI akan menjadi pemangkin kepada reformasi operasi Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan berhubung ucapannya pada majlis amanat tahun baharu ketua pengarah Maritim Malaysia.
Dalam kenyataan sama, Rosli berkata Maritim Malaysia menerima peruntukan berjumlah RM400 juta bagi tujuan pembaikan serta penyelenggaraan aset laut dan udara tahun ini.
Beliau turut menyatakan kepentingan hubungan strategik dengan penguat kuasa negara luar seperti Indonesia, Thailand, US Coast Guard, Japan International Cooperation Agency (Jica) dan Singapore Coast Guard.
“Kerjasama erat begitu penting dalam memperkukuhkan keselamatan perairan negara daripada pelbagai ancaman rentas sempadan seperti perkongsian maklumat cubaan masuk pendatang tanpa izin ke dalam negara,” katanya.