
Kementerian mendapati dakwaan itu tidak berasas, dengan tangkap layar yang tular hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks sejarah yang dijadikan ramalan.
“Tiada sebarang soalan dalam kertas peperiksaan sejarah kertas 1 dan 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan,” katanya dalam kenyataan.
“Justeru, dakwaan itu tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan KPM.”
Dalam pada itu, KPM menasihatkan semua calon kekal tenang dan fokus.
Katanya, pihaknya sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam terpelihara.
Terdahulu, tular di pelbagai platform media sosial pelajar berkongsi soalan dan jawapan kertas 1 dan 2 mata pelajaran sejarah beberapa hari sebelum ia diduduki calon.