Johari Ghani akan rasmi Persidangan Minyak Makan Pakistan

Johari Ghani akan rasmi Persidangan Minyak Makan Pakistan

Persidangan Minyak Makan Pakistan acara tahunan yang menghimpunkan pengeluar, peniaga, pembeli dan penggubal dasar.

JOHARI ABDUL GHANI
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani akan bertemu Menteri Perusahaan dan Pengeluaran Pakistan untuk meningkatkan kerjasama dua hala.
PETALING JAYA:
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani akan merasmikan Persidangan Minyak Makan Pakistan (PEOC) di Karachi pada 11 Jan.

PEOC yang menghimpunkan pengeluar, peniaga, pembeli dan penggubal dasar menjadi platform untuk meneroka perkembangan industri, membincangkan amalan mampan, dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam perdagangan minyak makan.

Johari dijangka menyampaikan ucaptama dan akan memberi tumpuan kepada kepimpinan Malaysia dalam amalan minyak sawit mampan, peningkatan permintaan global untuk minyak masak dan terbitannya, serta kepentingan ekonomi minyak sawit kepada kedua-dua negara, lapor Bernama.

“Beliau juga akan menekankan manfaat bersama daripada perdagangan yang dipertingkatkan, inovasi dan kerjasama yang mengesahkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungannya yang telah lama terjalin dengan Pakistan dalam industri minyak sawit dan minyak makan,” menurut kenyataan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Johari juga akan bertemu Menteri Perusahaan dan Pengeluaran Pakistan untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dan pemimpin perniagaan dalam industri minyak sawit.

“Mesyuarat ini akan memberi tumpuan kepada peluang Malaysia untuk menguasai semula bahagian pasarannya dalam sektor minyak dan lemak Pakistan sambil memupuk strategi kerjasama untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia,” katanya.

Pakistan adalah pengimport minyak sawit ketujuh terbesar Malaysia, menjadikannya rakan kerjasama strategik dalam sektor minyak makan.

“Lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama perniagaan antara pemegang kepentingan Malaysia dan Pakistan sambil mempromosikan kedudukan minyak sawit Malaysia sebagai produk yang mampan dan berkualiti tinggi,” katanya.

KPK berkata dengan peningkatan permintaan global untuk minyak makan yang mampan dan berkualiti tinggi, Malaysia komited untuk mengekalkan kedudukan sebagai pembekal yang konsisten dan dipercayai.

“Lawatan dan penyertaan Johari dalam PEOC memperlihatkan dedikasi negara untuk membina kerjasama antarabangsa yang kukuh, menggalakkan perdagangan bernilai tambah dan memacu kemajuan dalam industri minyak sawit,” kata kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.