
Beliau berkata, selama ini ada kumpulan penulis yang berkarya secara beretika mengikut undang-undang dan mereka perlu diberi layanan adil serta tidak berat sebelah.
“Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur. Sekali kita melepaskan ‘kecurangan’, maka itu akan menjadi landasan bagi ‘kecurangan’ lain berulang seperti kata pepatah Melayu, lulus jarum, luluslah kelindan,” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, dilaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan penerbitan, pengedaran dan pemilikan enam buku yang dikatakan bertentangan dengan budaya serta nilai murni masyarakat.

Perintah larangan berkuat kuasa 19 Dis lalu diwartakan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Enam buku itu adalah ‘A Million Kisses in Your Lifetime’ oleh Monica Murphy; ‘Lose You to Find Me’ oleh Erik J Brown; ‘Punai’ oleh Asyraf Bakti; ‘Scattered Showers’ oleh Rainbow Rowell; ‘When Everything Feels Like the Movie’ oleh Raziel Reid, dan ‘What If It’s Us’ oleh Becky Albertalli dan Adam Silverra.
Menurut KDN, semakan mendapati sekurang-kurangnya tiga buku itu mengandungi unsur atau karakter LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).
Mengulas lanjut, Mohamad menyambut baik langkah KDN mengharamkan buku tersebut sambil berkata kebebasan berekspresi mesti dikawal undang-undang dan pihak yang memegang punca kuasa.
“Sekiranya buku berkenaan mengandungi unsur atau nilai bertentangan dengan prinsip Rukun Negara, merosakkan pemikiran, menyuburkan kebejatan moral, mengelirukan pemahaman masyarakat tentang konsep moraliti, pengharamannya adalah wajar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Saiful Akram Che Cob, berkata jika sesuatu penulisan dan pengedarannya boleh mencetuskan rasa tidak senang, melanggar tatasusila dan etika ketimuran maka ia tidak boleh diterima.
“Dalam konteks ini, mengangkat isu LGBT waima ia didalilkan sebagai hak asasi manusia dalam apa sahaja kepercayaan dianuti di Malaysia…perkara sedemikian tidaklah selayaknya didukung,” katanya.