Anwar, Prabowo bincang perkukuh hubungan Malaysia-Indonesia

Anwar, Prabowo bincang perkukuh hubungan Malaysia-Indonesia

Pertemuan itu sebahagian lawatan kerja sehari Prabowo ke Malaysia, yang pertama sejak beliau menjadi presiden Indonesia pada Oktober 2024.

Prime Minister Anwar Ibrahim President Prabowo
Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengadakan perbincangan tertutup yang memfokuskan pada usaha mengukuhkan hubungan dua hala hari ini.

Pertemuan itu diadakan pada majlis makan tengah hari secara tertutup yang dihoskan oleh Anwar di Rumah Tangsi di sini sebagai sebahagian daripada lawatan kerja sehari Prabowo ke Malaysia, yang pertama sejak beliau mula memegang jawatan pada Oktober 2024.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Republik Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosiobudaya, pertahanan dan keselamatan,” menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).

Sebaik sahaja majlis makan tengah hari selesai, Anwar dilihat menaiki kereta bersama Prabowo, yang dijadualkan berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut menyertai delegasi Prabowo ialah Menteri Luar Indonesia Sugiono.

Indonesia ialah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Asean pada 2023.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM111.21 bilion (USD24.39 bilion) tahun lepas.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, dagangan dua hala bernilai RM95.50 bilion (USD20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (USD20.69 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.