87% responden setuju PLKN dilanjut

87% responden setuju PLKN dilanjut

Pelaksanaan PLKN 3.0 dimulakan dengan latihan percubaan melibatkan 200 peserta dari 12 Jan hingga 25 Feb.

plkn
PLKN 3.0 akan menerapkan 70% asas ketenteraan dan 30% kenegaraan. (Gambar Bernama)
KULAI:
Sejumlah 87% individu berusia 16 hingga 60 tahun termasuk ibu bapa bersetuju pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilanjutkan.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata tinjauan awam dilakukan Malaysian Institute of Defence and Security (Midas) melibatkan seramai 3,092 responden itu, menunjukkan golongan ibu bapa juga mahu anak-anak mereka mempunyai arah yang jelas dalam kehidupan.

Beliau berkata, justeru kerajaan mengharapkan agar PLKN 3.0 yang akan dilaksanakan tahun ini, dapat membina jati diri sekali gus memupuk sifat kepimpinan golongan muda di negara ini.

“Kita mahu (hubungkan) link yang tiada dalam pendidikan kita dalam bagaimana anak-anak didedahkan dengan ilmu untuk hendak jadi pemimpin.

“Macam mana (cara) hendak jadi pemimpin, mereka tidak tahu. Jadi kita harap dengan PLKN ini, mereka secara fizikal boleh memahami dan belajar di kem sendiri bagaimana sifat itu boleh dipupuk,” katanya ketika diminta mengulas mengenai PLKN selepas majlis pelancaran ibu pejabat FOZ One.

Johari berkata, PLKN 3.0 yang menerapkan 70% asas ketenteraan dan 30% kenegaraan, akan membantu meningkatkan kemahiran dan kemampuan diri termasuk dari segi percakapan, berfikir dan sebagainya.

Beliau berkata, ia sekali gus membuka peluang kepada pelatih terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menceburkan diri dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), mahu pun pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, sebelum ini dilapor berkata pelaksanaan PLKN 3.0 akan dimulakan dengan latihan percubaan melibatkan 200 peserta, terdiri 148 lelaki dan 52 perempuan, dari 12 Jan hingga 25 Feb 2025.

Sementara itu, Johari ketika ditanya mengenai Parlimen Belia, beliau berkata inisiatif program tersebut dapat mendedahkan golongan berkenaan yang boleh menjadi pelapis Ahli Parlimen berketerampilan dalam usaha ke arah sistem Parlimen yang lebih baik.

“Saya diberikan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak kita, bagaimana kita dapat melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang lebih terdedah dengan sistem yang lebih baik dan tidak lagi macam sekarang ini, kita tengok dalam Parlimen banyak orang main politik daripada cakap hal-hal rakyat.

“Jadi dengan pendedahan dalam Parlimen Belia, kita harapkan tahun ini bermulanya satu sistem baru, saya rombak balik keseluruhan sistem pemilihan dan mengharapkan kita dapat melahirkan anak-anak muda yang lebih berketerampilan untuk menjadi Ahli Parlimen masa hadapan,” katanya.

Johari sebelum ini dilapor berkata Parlimen Belia ialah platform terbaik bagi anak muda terutama pelajar melibatkan diri pada peringkat awal dunia politik, selain membantu negara mengasah bakat mereka untuk menjadi wakil rakyat yang lebih baik pada masa depan.

Beliau berkata ia juga akan menyerupai proses PRU dan pihak Parlimen Malaysia sedang meneliti perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.