2 pemimpin Umno angkat sumpah senator

2 pemimpin Umno angkat sumpah senator

Mereka ialah Setiausaha Wanita Umno Rosni Sohar dan Ketua Bahagian Umno Ipoh Barat Shamsuddin Abd Ghaffar.

Awang Bemee Awang Ali Basah, Shamsuddin Abd. Ghaffar n rosni sohar
Speaker Dewan Negara Awang Bemee Awang Ali Basah (tengah) bersama Shamsuddin Abd Ghaffar (kanan) dan Rosni Sohar (kiri) selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di Parlimen hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Negara, Awang Bemee Awang Ali Basah, di Dewan Negara, hari ini.

Mereka ialah Setiausaha Wanita Umno Rosni Sohar dan Ketua Bahagian Umno Ipoh Barat Shamsuddin Abd Ghaffar.

Pelantikan Shamsuddin adalah lantikan semula Pilihan Dewan Negeri Perak berkuat kuasa 20 Dis lepas hingga 19 Dis 2027 manakala Rosni merupakan lantikan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh bermula hari ini hingga 8 Jan 2028.

Awang Bemee dalam ucapannya, mengucapkan tahniah dan menyeru Ahli Dewan Negara memanfaatkan pembangunan media sosial demi menegakkan tonggak negara.

“Untuk menyemai fahaman keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam kalangan warga Malaysia. Pembangunan media sosial memberi platform yang berpengaruh untuk tujuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Dewan Negara menubuhkan tiga jawatankuasa bagi melaksanakan tanggungjawab yang lebih efektif, iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah, Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat, serta Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-undang.

“Ahli-ahli disaran melaksanakan libat urus dengan pihak awam serta swasta, dalam dan luar negara, termasuk yang mengamalkan sistem Westminster,” katanya.

“Sebagai negara perdagangan, hubungan dengan Asean, Ekonomi Asia-Pasifik, BRIC selain Komanwel tentu menjadi keutamaan terutamanya dalam bidang bukan sahaja diplomatik tetapi legislatif berkaitan kepentingan bersama,” katanya.

Awang Bemee turut mengalu-alukan ahli-ahli Senator yang mengangkat sumpah pada hari ini untuk menyumbang pandangan dan idea serta mengambil peranan dalam jawatankuasa ini.

Pada 5 Dis lepas, pemilihan Shamsuddin diputuskan menerusi undian semasa hari terakhir persidangan DUN Perak 2024 selepas Menteri Besar Saarani Mohamad menggulungkan Belanjawan negeri 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.