
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata mangsa Nur Amira Balqis Armi, 22, yang bekerja sebagai jurujual, manakala adiknya berusia 15 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kejadian kira-kira 10.35 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda dinaiki dua beradik serta sebuah Toyota Vellfire dipandu wanita berusia 38 tahun.
“Hasil siasatan mendapati pemandu Toyota Vellfire dalam perjalanan dari rumahnya ke arah Ipoh Garden dan disyaki gagal mematuhi lampu isyarat semasa di lokasi kejadian.
“Motosikal yang datang dari arah sebelah kanan terus melanggar bahagian tepi sebelah kanan kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Abang Zainal Abidin, berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, manakala pemandu wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee menerusi hantaran dimuat naik di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga dua beradik itu.
Lee yang turut berada di lokasi kejadian memaklumkan pihaknya akan membantu urusan pengurusan jenazah kedua-dua mangsa bagi meringankan beban keluarga.