Titah adendum Najib tak disorok

Titah adendum Najib tak disorok

Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil nafi dakwaan kerajaan sorok titah adendum berkait hukuman Najib Razak.

fahmi fadzil
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil kata respons kerajaan dalam isu titah adendum adalah atas nasihat undang-undang.
PUTRAJAYA:
Kerajaan tidak sorok titah adendum yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah, kata jurucakap Fahmi Fadzil.

Beliau berkata respons kerajaan dalam isu ini berpandukan nasihat undang-undang agar tidak memprejudiskan kes yang berkaitan di mahkamah.

“Oleh sebab ia melibatkan Lembaga Pengampunan dan kita juga ambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini diremit semula ke Mahkamah Tinggi maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut,” katanya pada sidang media.

Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Najib pada Isnin peroleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan suatu titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkan beliau jalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Beberapa pihak menuduh kerajaan sorok titah tersebut, selepas peguam Najib, Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum itu.

Susulan keputusan mahkamah, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata surat yang diterima Jabatan Penjara daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri pada 2 Feb 2024 tidak menyebut apa-apa mengenai tahanan rumah.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM merupakan sekretariat kepada Lembaga Pengampunan.

Awal hari ini, Peguam Negara Dusuki Mokhtar enggan mengulas dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara menerima perintah adendum tahanan rumah untuk Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.