
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, cadangan tersebut dibentangkan MRT Corp selaku pemaju dan pemilik aset kepada kerajaan negeri, namun ia masih pada peringkat cadangan konsep.
“Cadangan MRT Corp adalah untuk membina satu lagi depoh di tapak pesta, bukan depoh utama tetapi depoh sekunder sebab depoh utama akan dibina di Pulau Silikon,” katanya.
“Depoh ini untuk penyelenggaraan dan kerja-kerja pembersihan selepas tamat waktu perkhidmatan dan sebagainya yang berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit atau ‘Transit Oriented Development’ (TOD) yang digabungkan dengan kemudahan pengangkutan awam dalam pembinaannya.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2024/2025 di Tapak Pesta Sungai Nibong malam tadi, yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Terdahulu, Chow dalam ucapannya memberitahu Pesta Pulau Pinang ke-58 mungkin menjadi edisi terakhir dianjurkan di Tapak Pesta Sungai Nibong sebelum berpindah ke lokasi lain, berikutan sebahagian daripada kawasan tersebut terlibat dengan projek pembangunan LRT Laluan Mutiara.
Chow berkata, ketika ini rundingan mendalam mengenai cadangan itu belum bermula dan hanya akan diperincikan selepas kontrak utama bagi projek itu dimuktamadkan kelak.