Kerajaan perkenal insentif cukai khas tarik pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Kerajaan perkenal insentif cukai khas tarik pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Tiga insentif cukai khas diperkenal selain kerajaan Johor setuju perkenal duti hiburan lebih rendah bermula 1 Jan.

forest-city
JS-SEZ meliputi Iskandar Malaysia selain termasuk kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pengerang dengan keseluruhan keluasan 3,505 kilometer persegi.
PETALING JAYA:
Kadar cukai korporat istimewa 5% bagi tempoh sehingga 15 tahun antara pakej insentif cukai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diperkenalkan kerajaan bagi menarik pelaburan bernilai tinggi ke negeri di Selatan itu.

Pakej lain yang boleh dimohon 1 Jan lalu itu adalah insentif tambahan bagi operasi di kawasan utama JS-SEZ dan kadar cukai istimewa untuk pekerja berpengetahuan sebanyak 15% bagi tempoh 10 tahun.

Kerajaan Johor dan Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata pakej insentif JS-SEZ sebagai ikhtiar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara.

“Menerusi pakej insentif ini, syarikat yang membuat pelaburan baharu dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang layak seperti kecerdasan buatan (AI) dan perkomputeran kuantum, peralatan perubatan, aeroangkasa serta perkhidmatan hab global, berpeluang menikmati kadar cukai istimewa 5.0 % bagi tempoh sehingga 15 tahun.

“Selain itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan, di mana insentif tambahan diperuntukkan untuk perniagaan yang beroperasi di kawasan utara yang telah ditentukan di JS-SEZ.

“Kadar cukai istimewa untuk pekerja berpengetahuan juga ditawarkan dengan kadar cukai istimewa 15% bagi tempoh 10 tahun diperuntukkan untuk pekerja berpengetahuan yang layak di JS-SEZ,” menurut kenyataan itu.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata selain pakej insentif cukai, kerajaan Johor bersetuju memperkenalkan duti hiburan pada kadar lebih rendah bermula 1 Jan 2025.

“Dengan pelbagai kelebihan dimiliki negeri ini, JS-SEZ akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab perdagangan dan maritim utama di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata pakej insentif cukai JS-SEZ mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan hubungan manfaat bersama yang akan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

“Dengan kerjasama antara Malaysia dan Singapura, pakej insentif JS-SEZ ini akan mempercepatkan kemasukan pelaburan berkualiti dalam sektor utama dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, dengan memanfaatkan kekuatan dan sinergi antara Johor dan Singapura,” katanya.

Semalam, Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian persefaham (MoU) berkait JS-SEZ sempena pemukiman pemimpin di antara dua negara terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.