Hashim anggap tuduhan Mat Sabu PAS selalu ubah fatwa tak relevan

Hashim anggap tuduhan Mat Sabu PAS selalu ubah fatwa tak relevan

Hashim Jasin berkata PAS telah bergerak ke depan malah berkembang sejak Mohamad Sabu meninggalkan parti pada 2015.

Hashim Jasin berpendapat Mohamad Sabu berhak beri pandangan berkait PAS namun tidak semestinya perlu diikuti.
PETALING JAYA:
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menolak pandangan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang bekas partinya itu sering mengubah fatwa mengikut situasi.

Mengulas dakwaan bekas timbalan presiden PAS itu, Hashim menegaskan pandangan Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu tidak lagi relevan kerana parti itu telah bergerak ke depan, malah berkembang sejak beliau meninggalkan parti pada 2015.

Mohamad menubuhkan Amanah selepas gagal mempertahankan kerusi timbalan presiden PAS pada 2015. Beliau turut disertai beberapa bekas pemimpin PAS antaranya Mujahid Yusof Rawad, Khalid Samad dan Dzulkefly Ahmad.

Hashim mendakwa, sokongan PAS kini semakin bertambah sejak itu dengan memenangi banyak kerusi Parlimen pada PRU15 dan menguasai empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“Pandangan itu tidak membimbangkan kepada PAS dan beliau berhak, tapi lebih beri kesan apabila dia tinggalkan perjuangan dahulu.

“Bagaimanapun, saya secara peribadi doakan beliau kembali ke pangkal jalan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Mohamad mendakwa PAS mungkin akan ‘membuang’ bekas perdana menteri Najib Razak memandangkan fatwa parti itu sentiasa berubah.

Beliau merujuk sokongan PAS berhubung isu titah adendum dengan kehadiran ramai pemimpin serta ahlinya dalam perhimpunan di Istana Kehakiman, Isnin lalu.

Mohamad dilaporkan berkata, beliau menjangkakan perkara itu berdasarkan pengalamannya yang pernah memegang pelbagai jawatan dalam PAS selama 37 tahun termasuk timbalan presiden, sebelum keluar parti untuk membentuk Amanah.

Insiden itu termasuk tindakan mengkafirkan Umno tetapi bekerjasama pada 2018 selain menuduh DAP sebagai komunis serta hendak tubuh negara Kristian selepas memutuskan hubungan walaupun ketika formula kerjasama digunakan adalah ‘agree to disagree’.

Sehubungan itu, beliau beranggapan sokongan kepada Najib hanya sandiwara menarik sokongan Melayu dan nasibnya tidak lagi diperjuangkan jika tidak menguntungkan politik PAS.

Berkaitan sokongan PAS terhadap Najib, Hashim berkata parti itu bukan menyebelahi kesalahan dilakukan sebaliknya hanya mempersoalkan titah adendum berkait tahanan rumah bekas perdana menteri.

“Kita nampak ketidakadilan wujud, maka kita pertahankan kebenaran itu dan apa yang akan berlaku selepas ini terpulanglah. Tapi orang akan nilai bahawa tindakan PAS untuk pertahankan kebenaran menentang kemungkaran,” dakwanya.

Isnin lalu, pemimpin dan ahli PAS antara 3,000 orang menyertai himpunan di Putrajaya untuk mengikuti prosiding Mahkamah Rayuan berkait semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Najib memulakan prosiding itu selain mengemukakan bukti baharu apabila merit kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam surat dalaman kepada parti membuat seruan kehadiran ahlinya bagi menunjukkan solidariti bersama bekas perdana menteri dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum Yang di-Pertuan Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.