Dr M guna naratif anti-DAP tekan hubungan Umno-PH, kata penganalisis

Dr M guna naratif anti-DAP tekan hubungan Umno-PH, kata penganalisis

Retorik dimainkan bekas PM itu dikatakan bertujuan mengganggu ketenteraman Umno, menjejaskan hubungannya dengan kerajaan perpaduan.

mahathir mohamad najib razak mukhriz mahathir
Dr Mahathir Mohamad mendakwa Umno menarik diri daripada himpunan solidariti Najib Razak kerana takut dikecam, manakala anaknya, Mukhriz, mempersoalkan mesej dihantar himpunan itu.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad menggunakan sentimen anti-DAP orang Melayu yang dimainkan sejak sekian lama ketika mengkritik Umno kerana menarik diri daripada himpunan solidariti untuk Najib Razak yang diadakan pada Isnin, kata seorang penganalisis.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Mahathir sedang berusaha menganggu ketenteraman Umno dan menjejaskan hubungannya dengan kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) melalui penggunaan retorik yang memecah-belah.

“Mahathir mengulang naratif ‘Melayu vs DAP’ untuk menjejaskan Umno dengan menggambarkan parti itu lemah kerana bekerjasama dengan PH,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Syaza berkata, anak Mahathir, Mukhriz, tidak banyak taruhan dalam politik justeru dapat menyatakan pendapat jujurnya tanpa rasa takut kecaman.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Katanya, disebabkan taruhan Mahathir lebih besar, beliau menggunakan pendekatan lebih berjaga-jaga dalam gerak politiknya.

Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri dua kali, menuduh Umno menarik diri daripada himpunan itu kerana bimbang akan kehilangan sokongan dalam kerajaan perpaduan yang banyak bergantung kepada sokongan DAP.

Mukhriz pula menentang himpunan itu dengan berkata, ia akan menghantar mesej berbahaya tentang keupayaan pemimpin yang disabitkan bersalah mengelak akauntabiliti atas tindakan mereka.

Alat politik

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya bersetuju bahawa himpunan itu digunakan sebagai alat politik untuk mencetuskan perbalahan antara Umno dan PH.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

“Ahli politik yang pernah menerajui usaha menggulingkan Najib pada PRU2018 kini meletakkan diri mereka sebagai pembela ‘Bossku’ (Najib) dan Umno,” katanya kepada FMT.

“Mereka kini cuba memperjuangkan Najib dan Umno, tetapi ini boleh menjadi langkah untuk melemahkan Umno dan PH (dengan mewujudkan) perbalahan antara mereka.”

Pada Isnin, walaupun Umno menarik diri pada saat akhir, PAS terus mengadakan himpunan di luar Istana Kehakiman bagi menunjukkan sokongan terhadap Najib ketika rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan pada hari sama.

Bekas presiden Umno itu berjaya mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan membenarkannya menjalani tahanan rumah mengikut titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu pada 29 Jan tahun lepas.

Saling hormat, kongsi matlamat sama

Sementara itu, G Manivanan, Setiausaha Politik Presiden PKR Anwar Ibrahim, menyifatkan dakwaan Mahathir sebagai tidak berasas.

g manivanan
G Manivanan.

Beliau khususnya menafikan cadangan bahawa DAP mengenakan pengaruh tidak wajar dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, kerajaan perpaduan dibentuk atas rasa ‘saling menghormati’ dan ‘matlamat bersama’, dibina atas ‘konsensus’ dan ‘pembuatan keputusan kolektif’.

“Keputusan Umno tidak meneruskan himpunan itu mencerminkan rasa hormatnya pada proses Perlembagaan, bukan ketakutan,” kata Manivanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.