Anwar galak pelaburan perusahaan Indonesia di Malaysia

Anwar galak pelaburan perusahaan Indonesia di Malaysia

Perdana menteri berkata inisiatif itu akan mengukuhkan lagi kekuatan hubungan dua hala antara dua negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi Sinar Mas Franky Oesman Widjaja dan rombongan petang tadi. (Gambar X)
KUALA LUMPUR:
Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung daripada perusahaan Indonesia serta menggalakkan kolaborasi strategik seperti penggabungan antara syarikat milik entiti kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata inisiatif itu akan mengukuhkan lagi kekuatan hubungan dua hala antara dua negara.

“Perkara ini saya lontarkan semasa menerima kunjungan hormat Pengerusi Sinar Mas Franky Oesman Widjaja dan rombongan petang tadi.

“Saya turut maklumkan bahawa dalam konteks Kepengerusian Asean 2025, kejayaan pembangunan infrastruktur merentasi pelbagai negara menuntut keyakinan dan kerjasama utuh antara syarikat-syarikat Asean,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Anwar berkata, Sinar Mas merupakan satu daripada kumpulan perniagaan terkemuka di Indonesia yang beroperasi dalam tujuh sektor utama, iaitu pulpa dan kertas, pertanian dan makanan, perkhidmatan kewangan, hartanah, telekomunikasi, tenaga dan infrastruktur, serta perkhidmatan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.