
Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Mahathir Rais, antara pemimpin pembangkang yang mengkritik penglibatan komponen PN menyertai himpunan itu berkata ketidakhadiran pemimpin utama tersebut lebih kepada mengekalkan pendirian yang selari dengan prinsip perjuangan gabungan.

“Ketidakhadiran Muhyiddin dan Hadi tidak bermaksud menolak hak individu untuk berhimpun, tetapi lebih kepada mengekalkan pendirian yang selari dengan prinsip perjuangan PN, iaitu menegakkan keadilan tanpa kompromi terhadap salah guna kuasa atau rasuah.
“Muhyiddin adalah bukti nyata bahawa PN berprinsip dan memperjuangkan keadilan. Beliau dipecat Umno kerana menentang korupsi, ditarik sokongan semasa menjadi perdana menteri kerana enggan berkompromi dengan pihak berkepentingan, dan tidak mencampuri urusan mahkamah,” katanya kepada FMT.
Beliau memaklumkan menghormati hak individu termasuk daripada Bersatu yang bersolidariti bersama bekas perdana menteri, semalam.
Terdahulu, FMT melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kehadiran pemimpin pembangkang dalam solidariti Najib tidak bermakna PN akan menukar pendirian berkait skandal 1MDB.
Beliau berkata, parti itu masih mendesak akauntabiliti dalam skandal yang digambarkan sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia setakat ini.
Katanya, kehadiran pemimpin PN di himpunan itu kerana isu titah diraja yang didakwa membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah adalah perkara kepentingan awam.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar serta Idris Ahmad antara pemimpin PN yang hadir memberi sokongan kepada Najib.
Sementara itu, Mahathir menegaskan segala tindakan pemimpin PN termasuk Bersatu dalam ‘membela individu terpalit rasuah’ tidak boleh sehingga mengetepikan prinsip menolak korupsi.
“Selama mana ia tidak bertentangan prinsip PN atau Bersatu, penjelasan (Wan Fayhsal) boleh diterima. Apa pun, berhimpun adalah hak individu, dan tiada sebarang sekatan daripada parti mahupun PN,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pucuk pimpinan PN memperkukuh komunikasi supaya setiap pendirian dibuat lebih jelas dengan menghormati suara ahli termasuk dalam isu solidariti bersama Najib.
“Ia penting dalam menjaga demokrasi dalaman agar hak bersuara ahli terus dihormati,” katanya.