Sarawak berdepan masalah besar kurang penuai buah sawit

Sarawak berdepan masalah besar kurang penuai buah sawit

Negeri itu memerlukan lebih 800,000 pekerja ladang kelapa sawit.

WORKER HARVESTING PALM FRUIT
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Stephen Rundi Utom, berkata Sarawak berdepan masalah besar kekurangan penuai buah sawit di seluas 1.62 juta hektar tanaman.
KUCHING:
Sarawak memerlukan lebih 800,000 pekerja ladang kelapa sawit, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah negeri, Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata, jumlah berkenaan hanya melibatkan ladang diuruskan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) dan tidak mengambil kira sektor pertanian lain.

“Dianggarkan terdapat 1.62 juta hektar (tanah ladang kelapa sawit) di negeri ini. Kita menghadapi masalah besar iaitu kekurangan penuai buah sawit.

“Setiap pekerja sepatutnya menuai 1.5 tan hasil sehari. Tanpa jumlah pekerja yang mencukupi, kita akan kerugian wang dan peluang,” katanya pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja selama lima hari ke Indonesia.

Rundi berkata, bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja, Salcra telah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi di Indonesia, seperti Jakarta dan Lombok, untuk menjalankan temu duga terhadap pekerja berminat.

“Proses (pengambilan pekerja asing) memerlukan banyak pematuhan peraturan. Kami perlu bekerjasama dengan Jabatan Buruh dan imigresen. Di Semenanjung, pekerja biasanya tiba dalam tempoh 45 hari, tetapi dalam kes kita, ia masih mengambil masa sekitar 90 hari atau lebih,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak mempermudah proses pengambilan pekerja ladang kelapa sawit dari Indonesia untuk menyokong operasi ladang Salcra.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.