
Bekas perdana menteri, yang disingkirkan daripada tampuk kuasa pada 2018, berkata kenyataan Anwar mengesahkan kebimbangannya bahawa kes mahkamah dihadapinya bermotif politik.
Ketika membaca keterangan saksi di Mahkamah Tinggi, Najib merujuk pengakuann Anwar melibatkan beberapa kes pendakwaan selepas PRU 2018 adalah cacat, tergesa-gesa, dan dicemari racun dan permusuhan.
Anwar membuat kenyataan itu pada 21 Dis susulan isteri Najib, Rosmah Mansor, dibebaskan satu lagi Mahkamah Tinggi atas pertuduhan pengubahan wang dan pengelakan cukai tanpa perlu melalui perbicaraan.
“Kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai kecacatan dalam proses pendakwaan sangat mengesahkan kebimbangan saya sekian lama mengenai prosiding undang-undang terhadap saya,” katanya sambil menambah Jabatan Peguam Negara kini perlu melaksanakan semakan menyeluruh terhadap semua pertuduhan ke atasnya.
Najib juga berkata, kenyataan tersebut menguatkan dakwaannya bahawa siasatan dijalankan dalam kes 1MDB yang sedang berjalan adalah cacat.
Bekas perdana menteri, yang juga memegang portfolio menteri kewangan ketika pentadbirannya, berulang kali mendakwa pihak berkuasa, terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak pernah menjelaskan secara terperinci tuduhan dikenakan.
Katanya, ia menghalangnya untuk mengemukakan gambaran penuh kepada mahkamah selain mengekang diri menjayakan pembelaannya.
“Tindakan seumpama itu oleh SPRM, melanggar prinsip usaha wajar dan saksama yang penting kepada mana-mana sistem undang-undang,” katanya.
Peguambela Najib, Shafee Abdullah, memberitahu mahkamah bahawa perkara itu menguatkan hujah dan mengarahkannya memasukkan hal berkenaan dalam pernyataan saksi.
Shafee memberi maklum balas berkenaan kepada pertanyaan oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah sama ada kenyataan Najib berkenaan relevan memandangkan ia tidak menyentuh pertuduhan sedang dibicarakan.
Shafee menjawab, ia bertujuan memaparkan kes dibawa terhadap Najib adalah tidak adil.
Najib berkata, sejumlah saksi pendakwaan memberi keterangan, termasuk bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo, sendiri berdepan liabiliti jenayah bagi beberapa keputusan kritikal, namun tidak didakwa.
Katanya, Loo berkhidmat sebagai pegawai awam ketika perkhidmatannya bersama 1MDB dan memudah cara transaksi dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low).
Najib berkata, wanita itu menerima manfaat kewangan melebihi RM100 juta dan menurut testimoni, telah memulangkan dana diselewengkan kembali bawah perjanjian persetujuan.
Najib berkata, Loo diberikan status perlindungan saksi menggunakan duit pembayar cukai negara.
Beliau turut mempersoal layanan diterima wanita itu apabila ada individu lain yang juga terlibat dalam tindakan tidak dibenarkan, tidak diletakkan bawah program perlindungan saksi.
Bekas presiden Umno itu berkata, kesalahan Loo tidak diendahkan, justeru menjadikan dirinya berdepan ketidakadilan dan kekejaman.
Namun, Najib berkata beliau tetap teguh dalam komitmen membersihkan namanya.
Najib didakwa 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berkait dana 1MDB berjumlah USD681 juta (RM2.28 bilion) yang dideposit dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pendengaran bersambung esok.