
Pengarah Maritim Kelantan, Erwan Shah Soahdi, berkata mereka ditahan di perairan sempadan Malaysia-Thailand kira-kira 17 batu nautika dari Pengkalan Kubor, Tumpat pada 1.45 petang.
Katanya, penahanan membabitkan tujuh lelaki berusia 21 hingga 47 tahun melalui rondaan Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.
“Pada mulanya kapal terbabit cuba melarikan diri namun tindakan pantas anggota kami berjaya mengejar dan melakukan pendaratan paksa.
“Kami berjaya menahan kapal tersebut selepas dikejar selama 15 minit atau sejauh lima batu nautika,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Sinar Harian.
Katanya, hasil pemeriksaan di bahagian penyimpanan ikan kapal terbabit menemukan 12 juta batang rokok seludup bernilai RM1.7 juta dengan anggaran cukai bernilai RM13.8 juta.
“Ia dipercayai dibawa menggunakan jalan air melalui Kelantan untuk pasaran di negeri di utara.
“Berdasarkan tiga bulan risikan dilakukan, kami percaya mereka melakukan transaksi perniagaan di tengah-tengah laut dengan rokok-rokok ini akan dipunggah ke bot-bot pancung untuk dibawa ke kawasan tertentu,” katanya.
Menurutnya, lima daripada suspek yang ditahan juga dikesan memiliki dokumen pengenalan diri meragukan manakala dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Saringan awal air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis metaphetamine,” katanya.