
Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS, berkata beliau akan mewakili Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee.
“Perkara ini dibangkitkan secara serius dalam Parlimen Malaysia khusus Dewan Rakyat pada 10 Dis 2024.
“Ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) mengenai titah adendum, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkata beliau tidak boleh menjelaskan isu ini di Parlimen atas alasan subjudis.
“Cadangan yang kami faham daripada kerajaan ialah untuk kami datang (ke mahkamah) untuk memahami isu ini, kami memohon untuk menjadi pemerhati dalam prosiding ini,” katanya katanya di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Azizah Nawawi, menurut New Straits Times.
Turut bersidang Hakim Azhahari Kamal Ramli dan Mohd Firuz Jaffril.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun, dari 12 tahun selepas ia dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan susulan sabitan dalam kes SRC International.