
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat pada minggu ini akan mendapatkan maklumat terkini daripada Menteri Pertahanan Khaled Nordin.
“Dalam beberapa mesyuarat Jemaah Menteri yang lepas ada dibangkitkan aspek pemindahan (warga Palestin) ke premis yang baharu.
“Setakat ini belum dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, tapi saya pasti selepas mesyuarat hari Rabu (ini) akan ada sedikit kemas kini untuk rakan media,” katanya kepada media selepas perasmian kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Semalam, tentera mengesahkan insiden kekecohan melibatkan warga Palestin di WTKL pada petang Sabtu seperti yang tular di media sosial, dikatakan berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan proses kembali ke Palestin.
Insiden itu merupakan kejadian kedua, dengan yang pertama pada Oktober tahun lalu.
Pada 16 Ogos lalu, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL.