
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata pemilihan presiden Upko itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan PH di negeri itu, selain mencapai keseimbangan politik sesama parti komponen.
“Buat masa ini parti komponen PH Sabah yang mempunyai paling banyak kerusi adalah DAP.
“Sekiranya Ewon memenangi jawatan tersebut secara demokrasi, elok peluang diberikan kepada pemimpin muda seperti beliau yang semakin berpengaruh di Sabah,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, sebarang keputusan yang dibuat harus berteraskan kepentingan jangka panjang PH di Sabah serta usaha untuk menawan hati rakyat melalui perpaduan dan strategi politik yang mantap.
Syahruddin Awang Ahmad dari UMS pula berpendapat pemilihan Ewon untuk menerajui PH Sabah mungkin bertujuan menyaingi mesej kempen ‘Sabah for Sabahan’ dan sentimen parti tempatan yang dibawa Warisan bagi menghadapi PRN akan datang.
Beliau turut mencadangkan majlis presiden untuk mula merencanakan strategi kempen bagi PRN tahun ini secara kolektif berbanding meneruskan perbincangan mengenai jawatan pengerusi PH Sabah.
Katanya, kemelut perebutan pucuk pimpinan akan menyebabkan gabungan itu dilihat wujud masalah dalaman sehingga menimbulkan persepsi buruk di kalangan rakyat Sabah.
“Situasi ketidaksefahaman ini akan berterusan dan melarat ke peringkat akar umbi serta penyokong parti-parti dalam PH Sabah. Dikhuatiri ia mendorong isu kepercayaan dan prasangka sesama parti komponen yang membawa kepada perpecahan gabungan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan semula tujuan dan kepentingan misi perjuangan perlu dilakukan terhadap parti-parti komponen terutamanya Upko dan PKR bagi memastikan dapat bekerja sebagai satu pasukan dan sebarang perbalahan boleh dihentikan.
Pada pemilihan 1 Dis lalu, Ewon Benedick menewaskan Christina Liew, pengerusi PH Sabah sejak 2017, dengan kelebihan tiga undi.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak dipersetujui PKR Sabah kerana menurutnya, jawatan pengerusi PH negeri sepatutnya milik parti itu, tanpa perlu dipertandingkan, menurut formula dipersetujui dan dipatuhi semua komponen.