‘Hantaran saya tiada kaitan Agong,’ kata Fadhli

‘Hantaran saya tiada kaitan Agong,’ kata Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari tepis kritikan mendakwa kiasan sinis di media sosialnya, Jumaat lalu berkait dengan Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Fadhli Shaari berkata beliau setakat ini belum berniat memanjangkan isu dakwaan menghina institusi diraja ke mahkamah.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menafikan kiasan sinis di media sosialnya, Jumaat lalu mempunyai kaitan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa tiada ayat atau bahagian kenyataan dikeluarkan Istana Negara melarang himpunan solidariti untuk bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin ini.

Dakwanya, pihak yang bimbang dan membidas pembabitan Umno dalam perhimpunan itu adalah Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

“Walaupun pimpinan Umno membalas Lim itu, tetapi akhirnya apa yang didesak dilaksanakan oleh Umno dengan kononnya berpandukan titah Agong yang mereka sendiri pilih untuk memahami bukan dengan maksud yang sebenar.

“Sedangkan titah adendum yang terang jelas itu mereka memilih untuk tidak perjuangkan. Inilah pelik dan ajaibnya Umno,” katanya di Facebook.

“Jadi jelas YDPA (Agong) tiada kaitan dengan hantaran saya itu,” jelasnya sambil bersedia berdepan siasatan pihak berkuasa susulan laporan polis dibuat Pemuda Amanah.

Fadhli berkata beliau pada masa ini belum berniat memanjangkan isu dakwaan menghina isu institusi diraja ke mahkamah walaupun dinasihatkan berbuat demikian terhadap Pemuda Amanah.

“Bagaimanapun, saya juga perlu mempertimbangkan tindakan seterusnya berdasarkan perkembangan akan berlaku,” katanya.

Semalam, FMT melaporkan beberapa pemimpin mempersoalkan kiasan sinis Fadhli yang didakwa boleh menjurus penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Fadhli menerusi Facebook berkata: “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.”

Hantaran dibuat itu sejurus Umno memutuskan tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama Najib kerana menjunjung titah Agong.

Sebelum itu, Istana Negara mengingatkan semua pihak menghormati kuasa prerogatif Agong dalam mengampunkan atau mengurangkan hukuman seseorang banduan dan menggunakan saluran perundangan ditetapkan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain turut menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, demi menghormati titah Agong.

Setakat ini, PAS menyatakan tetap meneruskan himpunan itu walaupun Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed berkata permohonan untuk mengadakan himpunan tersebut tidak lengkap dan terpaksa ditolak.

Perhimpunan itu diadakan pada hari sama Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun, dari 12 tahun selepas ia dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan susulan sabitan dalam kes SRC International.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.