
Presiden Warisan itu menjawab khabar angin bahawa rundingan antara GRS dan Warisan berjalan secara diam-diam, lapor Daily Express.
Shafie berkata, beliau banyak kali mempelawa GRS untuk membincangkan kemungkinan kerjasama, tetapi tidak berjaya.
“Apa respons yang kami dapat? Mereka kata, tidak. ‘Kami tidak mahu bekerjasama dengan Warisan’,” katanya di Kepayan semalam.
“Jadi terpulang kepada mereka. Saya kata, marilah bersatu, (tetapi) jangan bersatu kerana niat yang tamak, (untuk) kuasa dan jawatan.”
Shafie berkata, rakyat Sabah perlu bersatu untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sekarang kerana negeri itu sudah ‘terlalu ketinggalan’.
Tambahnya, sukar untuk merealisasikan hak negeri bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika rakyat Sabah tidak bersatu.
Menurut Shafie, Sabah mempunyai paling banyak parti politik di negara ini, yang hanya menandakan perpecahan, bukan perpaduan.
Tambahnya, Sabah juga harus bebas daripada retorik perpecahan yang berleluasa dalam kalangan parti Semenanjung.
Mengenai PRN yang akan berlangsung tahun ini, Shafie berkata, beliau yakin Warisan sudah cukup bersedia kerana parti itu bukanlah muka baharu.
“Kami akan lakukan apa sahaja untuk memastikan Sabah berada di landasan yang betul,” kata Shafie.
Tambahnya, rakyat Sabah juga perlu diingatkan tentang masalah yang mereka hadapi seperti bekalan air dan elektrik, pendidikan serta kesihatan.