
Gabungan itu menyifatkan langkah pihak tertentu mengeksploit ‘kesengsaraan’ bekas presiden Umno itu, yang pernah mereka ‘hina dan fitnah’, sebagai tidak bermoral.
“Kini mereka mahu menggunakan peluang untuk membina momentum bagi mencapai matlamat politik mereka,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di platform media sosial hari ini.
Dalam pada itu, BN berkata, pihaknya akur dengan titah saran Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak menghormati kuasa prerogatif baginda dalam hal pengampunan, namun tetap konsisten agar proses keadilan dan perundangan bagi Najib dilaksanakan dengan setulusnya.
“Menjadi tradisi BN, apa jua kemusykilan yang dihadapi oleh seseorang pemimpin parti dan negara, termasuklah Najib, tetap tidak meleraikan hormat terhadap jasa dan pengorbanannya serta sumbangan yang besar,” katanya.
Sebuah himpunan solidariti buat Najib akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya esok, pada hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan bekas perdana menteri itu berhubung titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini mengumumkan parti itu tidak akan meneruskan himpunan solidariti itu atas prinsip menjunjung titah Agong dan mematuhi gesaan polis.
PAS bagaimanapun menegaskan himpunan solidariti itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan perjalanan Lembaga Pengampunan.
Terdahulu, polis Putrajaya menjelaskan himpunan itu tidak mendapat kebenaran disebabkan permohonan tidak lengkap.
Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed hari ini berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas peserta perhimpunan itu, dengan lebih 450 pegawai dan anggota polis ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya esok.
Dilaporkan bahawa pagar sudah dipasang di pekarangan Istana Kehakiman sejak petang ini bagi menghalang perhimpunan diadakan.
Polis juga akan mengadakan sekatan di jalan-jalan masuk ke Putrajaya dan akan membuat pemeriksaan ketat ke atas semua orang yang akan memasuki kawasan Putrajaya esok.