Najib belum arah kemuka permohonan pengampunan baharu, kata peguam

Najib belum arah kemuka permohonan pengampunan baharu, kata peguam

Shafee Abdullah berkata, bekas PM itu menunggu keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin sebelum memutuskan langkah seterusnya.

TOWNHALL RAKYAT
Shafee Abdullah berkata, permohonan baharu akan menjejaskan permohonan semasa Najib Razak dalam rayuannya untuk menjalani baki tempoh penjara sebagai tahanan rumah.
KUALA LUMPUR:
Peguam mewakili Najib Razak berkata, beliau belum menerima sebarang arahan daripada bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu untuk mengemukakan permohonan baharu bagi pengampunan diraja.

Shafee Abdullah berkata, Najib akan memutuskan langkah seterusnya selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan pada Isnin mengenai permohonan semakan kehakiman berhubung titah addendum bersama keputusan Lembaga Pengampunan pada 2 Feb untuk meringankan hukumannya dalam kes SRC International.

Beliau berkata, permohonan baharu akan menjejaskan permohonan semasa Najib dalam rayuannya untuk menjalani baki tempoh penjara sebagai tahanan rumah.

“Kami juga bersedia untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan jika (permohonan) ditolak pada 6 Jan,” katanya kepada pemberita selepas forum.

Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum itu, jika wujud, dengan membenarkannya menjalani tahanan di rumah.

Persoalan mengenai permohonan pengampunan baharu bangkit selepas Jabatan Peguam Negara berkata minggu lepas bahawa semua permohonan pengampunan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mesti dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Pada Jumaat, Istana Negara mengulangi bahawa sebarang cadangan supaya banduan diberikan pengampunan atau dikurangkan hukuman hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk dipertimbangkan.

Istana juga menegaskan, pengampunan terletak bawah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.