
Tuan Ibrahim berkata, beliau ‘hairan’ dengan solidariti Umno terhadap ‘pemimpin kesayangan’ parti itu kerana setelah bertegas untuk berhimpun dan bersolidariti bersama Najib, Umno semalam memaklumkan untuk tidak meneruskan himpunan.
“Pembatalan yang diumumkan tidak sampai empat jam selepas Najib melahirkan rasa terharunya terhadap sokongan ahli-ahli Umno,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga mendakwa, keputusan Umno tersebut dipengaruhi oleh DAP yang menyatakan ketidakpuasan hati berhubung himpunan itu.
“Tindakan ini sekali lagi mengiyakan dakwaan rakyat sekarang bahawa Umno hanya menjadi pengikut setia dan hanya mengangguk pada apa sahaja yang dikatakan DAP,” katanya.
Jika Umno mahu membuang persepsi ini, katanya, mereka patut meneruska berhimpun dan bersolidariti bersama Najib, sebagai lambang ketaatan terhadap Agong, bukan takut kepada ‘batuk kecil’ DAP.
Selasa lepas, Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas Umno kerana berganding bahu dengan PAS mengadakan himpunan solidariti untuk Najib.
Katanya, langkah ini akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan Umno menjadi rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi menggesa Lim agar tidak menyinggung rakan sekutu kerajaan, menimbulkan perselisihan antara mereka.
Sebelum ini dilaporkan, suatu himpunan akan diadakan pada 6 Jan di Istana Kehakiman, Putrajaya, diterajui Umno dan PAS, pada hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain seterusnya menggesa orang ramai supaya tidak menyertai sebarang himpunan berikutan kenyataan Istana Negara yang mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan parti itu tidak akan meneruskan himpunan solidariti bersama Najib, atas prinsip menjunjung titah Agong dan mematuhi gesaan ketua polis negara.
PAS bagaimanapun awal hari ini menegaskan kehadirannya ke himpunan solidariti untuk Najib itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan perjalanan Lembaga Pengampunan.
Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Khaled Nordin menegaskan komitmen parti memperjuangkan keadilan buat bekas presidennya ‘nyata dan tidak akan terhenti’.
“Ia akan dilakukan secara perlembagaan dan tidak akan tersasar dari proses undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengkritik tindakan parti politik tertentu menjadikan proses pengampunan Najib sebagai ‘modal politik’.
“Jika agama dan kaum pun dijadikan komoditi politik oleh kumpulan tersebut, inikan pula kes Najib.”
Tambahnya, pihak yang menegaskan himpunan 6 Jan ini sah dan akan meneruskannya, membelakangi nasihat pihak berkuasa, ialah pemain politik ‘tanpa moraliti’.