Heret pemandu langgar lampu isyarat ke mahkamah, kerajaan digesa

Heret pemandu langgar lampu isyarat ke mahkamah, kerajaan digesa

Pakar juga cadang pemasangan kamera lampu isyarat di setiap persimpangan utama serta hukuman lebih berat bagi pesalah berulang.

Pakar pengangkutan percaya mewajibkan kehadiran ke mahkamah akan cegah pesalah mengulangi kesalahan. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Seorang perunding pengangkutan menggesa kerajaan menghadapkan pemandu yang melanggar lampu isyarat merah ke mahkamah, memandangkan bentuk hukuman sekarang belum memadai untuk mencegah pelanggaran peraturan jalan raya.

Wan Agyl Wan Hassan, pengasas badan pemikir pengangkutan, MY Mobility Vision, berkata mewajibkan penampilan ke mahkamah akan menyedarkan pesalah betapa berat perbuatan mereka, sekaligus menjadi bentuk pencegahan yang kuat.

“Membolehkan pesalah membayar denda tanpa perlu ke mahkamah beri gambaran seolah-olah melanggar lampu isyarat merah masalah kecil dan bukannya kesalahan serius,” katanya kepada FMT.

“Pesalah patut dipaksa berdepan akibat perbuatan mereka. Menghendaki mereka ke mahkamah boleh menyedarkan mereka betapa serius perbuatan mereka itu,” tambahnya.

Wan Agyl berkata 95,298 saman terhadap pengguna jalan raya kerana melanggar lampu isyarat merah, antara Januari dan November tahun lepas, menunjukkan langkah-langkah sekarang kurang berkesan.

Daripada angka tersebut, sebanyak 44,889 dikeluarkan terhadap pemandu kereta, 39,468 terhadap penunggang motosikal, 3,937 terhadap pemandu lori, dan 7,004 bagi lain-lain.

Wab Agyl, dahulunya pegawai di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, turut menggesa hukuman lebih berat ke atas pesalah berulang.

Beliau berkata, kebanyakan pesalah berulang nampaknya seperti menganggap denda antara RM300 hingga RM2,000 hukuman yang lemah.

Wan Agyl mencadangkan lesen memandu si individu yang lazim melanggar lampu isyarat merah digantung, dan pesalah diarah melakukan khidmat masyarakat, agar mereka faham akibat menyalahi undang-undang.

“Bayangkan si pesalah terlibat dengan kempen keselamatan jalan raya atau membantu menjaga ruang awam (selepas kemalangan jalan raya).

“Mereka akan nampak gambaran lebih jelas tentang akibat perbuatan mereka itu dan menyumbang kepada masyarakat yang terancam oleh perbuatan mereka.”

Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia mencadangkan sistem pengawasan dengan kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk mengesan secara automatik individu yang melanggar lampu isyarat merah dan pada masa sama mengenakan denda.

Wan Agyl juga berkata kamera lampu isyarat perlu dipasang di setiap persimpangan utama, dan saman dikeluarkan serta-merta.

“Automasi menghapuskan berat sebelah, memastikan semua orang dilayan secara adil,” tambahnya

Law berkata kerajaan harus pertimbang langkah memperkenalkan hukuman penjara bagi pesalah berulang, memandangkan pelanggaran lampu isyarat merah membawa kepada banyak kemalangan maut.

Beliau dan Wan Agyl menggesa lebih banyak kempen kesedaran mengenai akibat langgar lampu isyarat merah, terutama berkongsi cerita emosi yang menggamit perasaan.

“Biarkan pengguna jalan raya nampak apa yang mereka pertaruhkan, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk orang lain juga. Langkah ini untuk mewujudkan suatu sistem yang mana mereka bukan sahaja mematuhi peraturan kerana takut, tetapi kerana memahami mengapa peraturan itu wujud.”

Tajuk kecil: Jadikan lampu isyarat lebih jelas

Wan Agyl berkata pengguna jalan raya cenderung untuk beri alasan lampu isyarat tak kelihatan, dan ‘timing’ bermasalah apabila mereka langgar lampu isyarat merah.

“Pembetulan mudah seperti plat belakang isyarat trafik yang lebih jelas, tempoh lampu isyarat kuning yang lebih lama, dan lampu isyarat yang selaras boleh beri kesan yang besar,” katanya.

Beliau menambah bahawa AI boleh digunakan untuk selaraskan tempoh lampu isyarat dalam masa nyata, seperti yang dilakukan di Korea Selatan, sekali gus mengurangkan kesesakan dan pelanggaran lalu lintas.

“Ini boleh membantu menangani perasaan pemandu yang kadang-kadang mendorong mereka melanggar lampu isyarat merah,” katanya.

Wan Agyl menegaskan bahawa isu keselamatan jalan raya perlu ditangani dengan pendekatan seimbang agar berkesan, merangkumi penguatkuasaan undang-undang, pendidikan, dan pemulihan akhlak.

“Dengan menggabungkan penguatkuasaan yang lebih ketat dengan penalti berunsur pemulihan seperti khidmat masyarakat, dan pengurusan trafik yang lebih bijak, kita boleh cipta sistem yang memastikan pemandu bertanggungjawab sambil menjadikan jalan raya lebih selamat.

“Ini mengenai mengimbangi hukuman dengan pendidikan dan perubahan jangka panjang,” kata Wan Agyl.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.