
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mohd Rosli Abdullah berkata, bot-bot itu ditemukan kira-kira 4.16 petang.
Ketika ditemukan, kesemua warga asing itu berada dalam keadaan keletihan selepas dipercayai melalui perjalanan yang panjang tanpa bekalan makanan dan minuman mencukupi, tambahnya.
“Dianggarkan hampir 300 warga asing berada di dalam bot terbabit dan pihak APMM memberi bantuan termasuk bekalan makanan dan minuman air bersih, sebelum dua bot itu diusir keluar sehingga ke perairan sempadan negara bagi meneruskan pelayaran.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai pergerakan bot-bot berkenaan,” katanya, lapor Bernama.
APMM mengingatkan komuniti maritim untuk segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerusi talian 04-9662750 atau 011-58925868.
Semalam, Mohd Rosli berkata, pihaknya mengaktifkan Operasi Guard dan meningkatkan rondaan bagi mengesan baki pendatang tanpa izin dari Myanmar yang dilaporkan menuju ke Langkawi.
Operasi itu susulan penahanan 196 warga Myanmar di kawasan Pantai Teluk Yu, Langkawi, selepas bot dinaiki mereka terkandas di perairan itu awal pagi semalam.