
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, arahan serta-merta itu berkuat kuasa sehingga pihaknya yakin penganjur dapat memberikan jaminan mereka boleh mengawal perjalanan konsert, terutamanya menghalang unsur jenayah, seperti pengedaran dadah di konsert terbabit.
“Buat masa ini, polis menangguh dulu sebarang kebenaran permit untuk penganjuran konsert seperti ini (Konsert Pinkfish) sehingga penganjur boleh mengawal dan dapat pastikan elemen ini tidak berlaku.
“Pada masa hadapan, (bagi) sebarang penganjuran konsert, pihak penganjur perlu memberi keyakinan bahawa mereka boleh mengawal sebarang kemasukan dadah ke dalam konsert itu atau mana-mana konsert, dan sekiranya gagal, kita tidak boleh benarkan ia diadakan, yang mungkin boleh menyebabkannya berakhir dengan kematian,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan yang akan dilakukan polis dalam memastikan insiden kematian susulan konsert ambang tahun baharu itu tidak berulang.
Terdahulu, Hussein dilaporkan berkata, empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish itu dipercayai mengambil pil dadah jenis ecstasy.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujud kegiatan penjualan dadah di premis konsert itu.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, sebarang kebenaran permit penganjuran konsert pada masa akan datang hanya akan dikeluarkan selepas penganjur dapat mematuhi beberapa prosedur ditetapkan.
Ini termasuk kehadiran pengunjung mengikut kapasiti atau keluasan lokasi, selamat daripada kegiatan pengedaran dadah atau pil ecstasy selain memastikan pengudaraan yang baik sepanjang konsert berlangsung.
Untuk Konsert Pinkfish, katanya, pihaknya mendapati lebih 14,000 pengunjung hadir, suatu bilangan yang besar mengambil kira keluasan lokasi, yang memungkinkan berlaku kesesakan serta kesukaran bernafas, ditambah lagi dengan pengambilan dadah dan alkohol.
“Sebab itu, selepas ini untuk penganjuran konsert yang melibatkan elemen muzik dan pengunjung yang ramai, kita akan teliti dahulu kebenaran permit dan dalam Konsert Pinkfish itu, kita dapati penganjur gagal mengawal perkara yang dinyatakan ini daripada berlaku.
“Kita tahu penganjuran konsert di premis-premis tertentu juga memerlukan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dan dalam hal ini. PBT biasanya akan merujuk kepada polis terlebih dahulu sebelum kebenaran diberikan,” katanya menambah, pihaknya akan memanggil semula penganjur konsert itu untuk mendapatkan penjelasan.
Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat punca kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40an, termasuk dua wanita, selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu.