Langgar penunggang motosikal, pegawai kanan polis mungkin ‘micro sleep’

Langgar penunggang motosikal, pegawai kanan polis mungkin ‘micro sleep’

Polis telah mengambil keterangan pegawai bertugas di Bukit Aman itu, yang juga cedera dan masih dirawat di hospital.

ativa
Dilaporkan sebelum ini seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar Perodua Ativa dari arah bertentangan di Jalan Klang-Teluk Intan, Jeram, Kuala Selangor.
SHAH ALAM:
Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai melanggar seorang penunggang motosikal sehingga maut di Jeram, Kuala Selangor, Selasa lepas, disahkan sebagai seorang pegawai kanan polis bertugas di Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah merakam keterangan pegawai terbabit yang ketika kejadian sedang bercuti.

Tambahnya, berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, pemandu tersebut berkemungkinan mengalami ‘micro sleep’ ketika memandu.

“Pegawai itu juga cedera dan masih dirawat di hospital. Kita juga sudah buat ujian air kencing yang didapati negatif. Kita akan lihat keperluan untuk membuat tangkapan atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di IPK Selangor.

“Kita akan lengkapkan siasatan dengan kenyataan berdasarkan saksi kejadian, dibantu rakaman kamera papan pemuka yang sudah diperoleh serta kamera litar tertutup (CCTV) daripada rumah di kawasan berkenaan.

Hussein juga memberi jaminan polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Dilaporkan sebelum ini seorang lelaki berusia 57 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar Perodua Ativa dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Selangor.

Kejadian di Jalan Klang-Teluk Intan yang dipercayai berlaku sekitar 6 petang itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabas ke kawasan parit kecil di sebelah kiri jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.