Cuba sebar ajaran Kristian, polis rakam keterangan 2 pelancong AS

Cuba sebar ajaran Kristian, polis rakam keterangan 2 pelancong AS

Dua individu berusia dalam lingkungan 30an itu dipercayai telah berada di Malaysia sebelum 25 Dis, menurut timbalan ketua polis KL.

sebar ajaran kristian
Terdahulu, tular di media sosial video menunjukkan beberapa individu dikatakan menyebarkan risalah berkaitan ajaran Kristian di depan sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Polis sudah merakam keterangan dua warga asing yang dipercayai cuba menyebar ajaran Kristian di depan sebuah pasar raya di Desa Setapak.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Azry Akmar Ayob berkata, kedua-dua pelancong Amerika Syarikat berusia lingkungan 30an itu dipercayai telah berada di Malaysia sebelum 25 Dis sempena sambutan Krismas.

“Kami telah rakam percakapan pengadu dan dua orang warga asing yang terlibat dalam insiden ini,” katanya.

Bercakap pada sidang media hari ini, Azry menambah, siasatan polis berhubung perkara itu masih berjalan.

Semalam, Ketua Polis Wangsa Maju Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 30 Dis lepas dan tiga individu dipercayai terbabit sedang dikesan.

Terdahulu, tular di media sosial video menunjukkan beberapa individu dikatakan menyebarkan risalah berkaitan ajaran Kristian di depan sebuah pasar raya.

Bagaimanapun, setelah ditegur oleh orang awam, mereka kemudian beredar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.