
Nga juga didakwa menuduh parti itu sebagai ‘penunggang agama dan sesat’.
“Keadaan ini ‘sudah terang lagi bersuluh’ bahawa PAS adalah sebuah parti yang bersikap ultra hipokrit dan pembuli. Mengapa standard mereka berubah bergantung kepada siapa yang berkata atau melakukan sesuatu?” kata Lim dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga pernah menggelar PAS sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’, tetapi parti itu tidak menunjukkan ‘reaksi beremosi’ terhadap kenyataan tersebut.
“Malah, ramai menteri Melayu sebelum ini pernah menghadiri majlis sambutan Hari Krismas tanpa sebarang isu yang ditimbulkan oleh PAS, apatah lagi menuduh mereka melampau,” katanya.
Ketika menjadi timbalan perdana menteri pada 2013, Muhyiddin menyifatkan PAS sebagai sebuah parti politik yang mempromosikan ajaran sesat apabila menjawab kenyataan mursyidul am PAS ketika itu Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa solat ahli Umno tidak diterima kerana parti mereka telah menolak prinsip Islam.
Lim berkata, jika PAS serius mengenai pendiriannya berhubung sambutan Krismas, ia juga harus menjelaskan sama ada berhasrat menentang perayaan Deepavali, Tahun Baharu Cina, serta perayaan Kaamatan dan Gawai di Sabah dan Sarawak.
“Jika ya, mereka sepatutnya berani mengumumkan pendirian ini sebelum PRU16,” katanya.
Lim gesa pemimpin PAS memahami dan menerima kebebasan beragama bagi orang bukan Islam yang termaktub dalam Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan, yang menurutnya adalah asas kepada keharmonian masyarakat berbilang budaya Malaysia.
“Saya menyeru PAS untuk memainkan peranan lebih inklusif dalam menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Tumpukanlah tenaga kepada usaha untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara, bukannya mencetuskan perpecahan,” katanya.