
Katanya, zaman Lim memimpin DAP sudah berlalu dan beliau seharusnya memberi kepercayaan kepada pimpinan baharu parti itu.
“Saya tak perlu ulas kerana itu pendapat peribadi beliau. Saya ingat zaman beliau sudah berlalu dan beri kepercayaan kepimpinan DAP yang ada sekarang.
“Jangan nak ‘menyiku’ mana-mana sahabat,” kata timbalan perdana menteri ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Zahid berkata, Umno akan meneruskan himpunan solidariti itu minggu depan seperti dilaporkan media.
Beberapa hari lalu, Lim dilaporkan membidas Umno kerana ‘berganding bahu’ dengan PAS mengadakan perhimpunan solidariti untuk Najib.
Lim yang juga pengerusi DAP berkata, ia akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan Umno menjadi rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perhimpunan anjuran PAS akan diadakan pada hari sama Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib mengenai perintah tambahan yang didakwa meletakkannya bawah tahanan rumah.
Ia adalah kali pertama Umno dan PAS ‘bersama’ sejak Muafakat Nasional berakhir pada 2022.
Lebih 200 bas membawa penyokong Najib dijangka menghadiri perhimpunan itu, terdiri ahli Umno dan PAS. Pemimpin Bersatu juga dijangka hadir.