4 maut selepas konsert dipercayai ambil ecstasy, kata polis

4 maut selepas konsert dipercayai ambil ecstasy, kata polis

Polis tunggu analisis toksikologi untuk pengesahan dan punca kematian.

pinkfish
Penganjur konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 berkata, kematian 4 individu yang menyertai acaranya berlaku di luar premis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway kelmarin dipercayai mengambil pil ecstasy, menurut polis.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memaklumkan perkara itu berdasarkan siasatan awal polis.

“Pihak polis masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan perkara ini termasuk punca kematian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, empat individu itu antara tujuh pesakit yang diterima oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), dan menunjukkan simptom yang sama.

Dua pesakit masih menerima rawatan di unit rawatan rapi dan seorang lagi telah keluar hospital.

Polis mengesahkan pihaknya menerima enam laporan daripada PPUM dan HKL, sehingga kini.

“Ketujuh-tujuh mangsa ini tidak hadir bersama-sama di konsert tersebut tetapi hadir secara berasingan dengan kawan-kawan, ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, polis membuka empat kertas siasatan untuk mengenal pasti sebarang unsur jenayah atau keracunan.

“Sehingga kini, sebanyak enam percakapan saksi telah dirakam. Beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk bantu siasatan termasuk pihak penganjur konsert dan rakan-rakan mangsa.”

Terdahulu, penganjur konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 berkata, kematian berlaku di luar premis acara.

Pengurusan Pinkfish berkata, pihaknya telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk acara, termasuk kehadiran lebih 100 anggota polis selain anggota keselamatan, dan Unit K9 di pintu masuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.