SKMM beri lesen kepada TikTok, WeChat

SKMM beri lesen kepada TikTok, WeChat

SKMM berkata X dan Google yang mengendalikan YouTube belum menyerahkan permohonan mereka.

SKMM berkata WeChat diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) terlebih dahulu, diikuti TikTok. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok) sudah mendapat lesen untuk beroperasi di Malaysia mengikut keperluan pelesenan baru diperkenalkan buat penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 27 Julai lalu mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia wajib mendapat Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) mulai 1 Jan 2025.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata, WeChat yang pertama mendapat CASP, disusuli TikTok.

Menurutnya, Telegram dan Meta yang menyelia Facebook, Instagram serta WhatsApp sudah memulakan proses mendapatkan CASP yang dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

X (dahulunya dikenali Twitter) dan Google yang mengendalikan YouTube belum menyerahkan permohonan mereka kepada SKMM.

“SKMM akan menilai status penyedia platform belum memperoleh lesen dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan,” katanya dalam kenyataan.

SKMM berkata, ia sedang menyemak kesahihan jumlah pengguna X dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukannya yang mendakwa jumlah penggunanya di Malaysia belum mencapai ambang lapan juta.

Katanya, Google membangkitkan isu berhubung ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah kerangka pelesenan.

Menurutnya, ia sudah membincangkan isu itu dan akan memastikan YouTube serta penyedia platform lain mematuhi kerangka pelesenan yang berkuat kuasa mulai hari ini.

“Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna, terutamanya kanak-kanak dan golongan rentan serta menambah baik pengawasan kawal selia untuk penyedia perkhidmatan beroperasi di Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.