
Musa yang diiringi isteri Faridah Tussin sebelum itu tiba di Dewan Istiadat pada 10.11 pagi, sebelum melafazkan sumpah jawatan itu kira-kira 10.22 pagi.
Beliau kemudiannya menandatangani surat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, sebelum Ketua Menteri Hajiji Noor menyampaikan ucapan tahniah dan melafaz ikrar taat setia.
Mufti Kerajaan Negeri Sabah Bungsu Jaafar kemudian membacakan doa memohon kesejahteraan negeri di bawah naungan Musa, sebelum Yang Dipertua Negeri Sabah itu meninggalkan istiadat pada 10.43 pagi.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan, Joachim Gunsalam dan Shahelmey Yahya, serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Kadzim M Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Safar Untong.
Pada 17 Dis, Musa menerima watikah pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Juhar Mahiruddin yang menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.