Lesen penyedia media sosial mula berkuat kuasa

Lesen penyedia media sosial mula berkuat kuasa

Ia adalah usaha kerajaan untuk melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.

SOCIAL MEDIA RESIZE PHOTO
Semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi.
KUALA LUMPUR:
Melangkah ke 2025 turut menandakan satu lagi lembaran baharu dalam usaha kerajaan menjadikan platform media sosial di Malaysia lebih selamat apabila Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) bagi penyedia platform media sosial berkuat kuasa hari ini.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 27 Julai lalu mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.

Menurut SKMM, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil bawah Akta 588.

Sehingga semalam, Telegram dan Tencent (WeChat) antara penyedia perkhidmatan yang mengemukakan permohonan pelesenan untuk beroperasi di negara ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, pelesenan platform media sosial penting bagi mengatasi pelbagai permasalahan dalam Internet, antaranya isu buli siber and pengantunan kanak-kanak.

Sejajar pelaksanaan itu, katanya, Kementerian Komunikasi akan memantau dan mengambil langkah tambahan jika terdapat penyedia platform gagal melaksanakan larangan had umur penggunaan ditetapkan.

Pada 9 Dis lepas, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta 588 yang antara lain meminda Seksyen 211(c) menggantikan perkataan “seseorang” dengan “pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan”, selain menggantikan perkataan “lima puluh ribu” dengan perkataan “satu juta”.

Menerusi pindaan itu, seksyen itu tidak lagi terpakai kepada orang awam, sebaliknya penggunaannya tertakluk kepada pemegang lesen CASP dengan denda dalam seksyen berkenaan diselaraskan mengikut perkembangan semasa.

Tahun lalu, negara dikejutkan dengan beberapa insiden di platform media sosial, termasuk kematian tragis seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.

Pada 23 Dis lalu, polis dan SKMM melaksanakan operasi bersepadu Op Pedo bagi kesalahan seksual dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak yang menyaksikan 13 lelaki tempatan, termasuk seorang warga emas 74 tahun ditahan dan hampir 40,000 bahan CSAM serta pornografi dewasa dirampas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.