Dadah RM2.41 juta dirampas daripada pasangan kekasih

Dadah RM2.41 juta dirampas daripada pasangan kekasih

Mereka disyaki membeli pukal sebelum dadah dibungkus semula dengan dijual antara RM200 hingga RM300 sepeket.

M KUMAR
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata polis menjumpai lebih 14kg ekstasi, 24.58g ketamin, 2.75g syabu, dan 19.48g pil ekstasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dadah bernilai RM2.41 juta dirampas daripada pasangan kekasih, di sekitar Mutiara Rini, Iskandar Puteri.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata suspek beroperasi menggunakan kereta biasa bagi menyimpan dan menjual dadah, berbanding kereta mewah.

Katanya, lelaki berumur 33 tahun dan wanita 31 tahun warga tempatan itu ditahan dalam operasi khas, antara 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi, Sabtu lalu.

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan ketika berada dalam kereta Toyota Vios, digunakan menyimpan dan mengedar dadah.

“Hasil pemeriksaan di but kereta, polis menjumpai lebih 14kg ekstasi, 24.58g ketamin, 2.75g syabu, dan 19.48g pil ekstasi dengan semuanya bernilai RM2.41 juta.

“Dipercayai, semua dadah ini dibeli secara pukal sebelum dibungkus semula dan dipasarkan untuk pasaran tempatan,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru.

Kumar berkata, pelbagai barang kemas bernilai RM15,573 dan mata wang Thailand berjumlah 2,170 bath (RM280) turut disita.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah itu aktif beroperasi sejak Oktober tahun lalu dengan menjual sepeket dadah antara RM200 hingga RM300.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.