Sultan Selangor bimbang pembunuhan karakter di luar musim pilihan raya

Sultan Selangor bimbang pembunuhan karakter di luar musim pilihan raya

Sultan Sharafuddin Idris Shah titah lazimnya ia berlaku pada musim pilihan raya, namun kini diguna bagi musnahkan kepercayaan jatuhkan individu tertentu.

sultan selangor
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah rakyat perlu bijak menilai sebelum membuat prasangka dengan fitnah bagi membunuh karakter. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan cubaan membunuh karakter yang semakin berleluasa dewasa ini dengan niat memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.

Baginda bertitah jika tidak dibendung, perbuatan itu boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup tidak baik dan menjejaskan keharmonian.

Sultan Sharafuddin bertitah, lazimnya perbuatan membunuh karakter itu hanya berlaku pada musim pilihan raya, namun kini ia digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu.

“Beta ingin menasihatkan kepada rakyat agar bijak menilai dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat prasangka dan percaya dengan fitnah-fitnah yang terhasil daripada cubaan untuk membunuh karakter ini,” titah baginda dalam perutusan bersempena 2025, di Facebook Selangor Royal Office.

Dalam hal itu, baginda menyarankan sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak.

Bersempena dengan tahun 2025, Sultan Sharafuddin menyeru seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa, dan fahaman politik menanam azam lebih fokus kepada usaha membangunkan ekonomi dan bekerja lebih kuat demi memajukan negara dalam semua bidang.

Baginda juga tidak mahu ada pihak masih bertelagah, khususnya dalam kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, dan penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan yang dilihat kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah jahat, adu domba serta penyebaran maklumat palsu terutamanya di media sosial.

“Pada tahun baharu ini juga, beta mahu rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah pada semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan yang paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.

“Ingatlah, bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.