PBAHB lucut jawatan pengarah Jagdeep

PBAHB lucut jawatan pengarah Jagdeep

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang tersingkir sebagai pengarah bukan eksekutif menurut peraturan Bursa Malaysia.

Jagdeep Singh Deo
Sumber kerajaan Pulau Pinang berkata, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo terlepas mesyuarat Lembaga Pengarah PBA Holdings Bhd susulan pembedahan buku lali tidak lama dulu.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo dilucutkan jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB), berkuat kuasa hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkenaan berkata kekosongan melibatkan Jagdeep dibuat berdasarkan Perenggan 15.05(3)(c) Kehendak-kehendak Penyenaraian Pasaran Utama Bursa.

Peraturan itu memperincikan jawatan pengarah akan menjadi kosong sekiranya pengarah tidak hadir dalam lebih daripada 50% daripada jumlah mesyuarat lembaga pengarah yang diadakan semasa sesuatu tahun kewangan.

PBAHB adalah syarikat induk kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, yang merawat dan membekalkan air di negeri itu.

Dalam pemakluman sama kepada bursa, PBAHB menjelaskan bahawa Jagdeep tidak mempunyai perselisihan faham dengan Lembaga Pengarah, dan tidak ada perkara yang memerlukan perhatian pemegang saham.

Sumber kerajaan Pulau Pinang memberitahu FMT, bahawa Jagdeep terlepas mesyuarat susulan pembedahan buku lali tidak lama dahulu.

“Ini adalah prosedur mengikut peraturan bursa semata-mata. Pengerusi mempujnyai budi bicara untuk melantik semula Jagdeep,” kata sumber tersebut.

Pengerusi PBAHB dipegang Ketua Menteri Chow Kon Yeow. Lembaga itu ketika ini terdiri 11 ahli lain, termasuk Timbalan Ketua Menteri I Mohamad Abdul Hamid dan exco kerajaan negeri, Zairil Khir Johari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.