
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda, berkata pihaknya bukan sahaja menolak pelawaan ‘Himpunan Bangkit Ummah’ anjuran sayap itu yang disifatkan “politik murahan” pada Jumaat ini.
“Malu untuk sebuah sayap Pemuda sebuah parti yang besar dan hebat seperti PAS berhadapan dengan seorang wanita seperti Yeoh.
“Sepatutnya cukup dengan adakan pertemuan, berhujah atau berbincang secara baik bagi mendapatkan penjelasan. Tiada keperluan berhimpun,” katanya kepada FMT.
Hari ini, sayap PAS itu mempelawa Pemuda Umno dan PKR termasuk Amanah bersama membantah pihak yang dikatakan mengganggu-gugat keharmonian umat Islam di Malaysia.
Timbalan Ketua Mohd Hafez Sabri, berkata ‘Himpunan Bangkit Ummah’ anjuran Pemuda PAS, Bersatu dan beberapa NGO Islam akan diadakan di Masjid Jamek, Kampung Baru, pada 2.30 petang, melangkaui politik demi mempertahankan hak umat Islam.
Adun Manjoi itu berkata, pihaknya sudah memaklumkan rancangan penganjuran himpunan itu kepada polis dan antara isu akan dibangkitkan ialah bantahan terhadap Hannah, menteri belia dan sukan, dan Nga, menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Menurutnya, penerbitan buku Yeoh berjudul ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus, perlu dipandang serius dan wajar dibantah, manakala Nga pula dituduh mengadakan sambutan Krismas di pejabat kerajaan.
Selain Amanah, Pemuda PKR turut menolak pelawaan PAS, sambil menyifatkan himpunan itu percubaan membangkitkan sentimen “budaya ketakutan” kepada orang Melayu dan masyarakat Islam.
“Apa digerakkan PAS tidak lebih dari sekadar ‘political stunt’ (aksi politik).
“…sewaktu mereka memegang kuasa sebagai kerajaan, tiada laungan berbaur sebegini sepertimana sewaktu mereka tidak memegang tampuk pemerintahan,” kata Setiausaha Pemuda PKR Omar Mokhtar A Manap.
Katanya, realiti kini umat Islam patut diangkat martabat dan taraf hidup, memperkukuh ekonomi, masyarakat disatukan, dan keadilan sosial ditegak.
“Ini adalah tugas dan tanggungjawab dalam Islam. Pemuda PKR akan teguh pertahan dan angkat martabat umat Islam di Malaysia dalam kerangka tersebut,” katanya.