
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata kes pertama melibatkan lelaki berusia 71 tahun yang berminat menyertai pelaburan saham setelah melihat iklan di Facebook, menjanjikan pulangan 30%.
Beliau berkata, untuk permulaan, mangsa melabur RM10,000 dan selepas melakukan semakan melalui aplikasi diberikan suspek, lelaki itu mendapati keuntungan pelaburan telah masuk dalam akaunnya.
“Melihat kepada keuntungan itu, mangsa telah membuat 21 kali lagi transaksi ke dalam enam akaun yang berbeza diberikan suspek sehingga mengalami kerugian berjumlah lebih RM1.8 juta,” katanya dalam kenyataan.
Yahaya berkata, mangsa menyedari diperdaya selepas diminta memasukkan wang RM2.8 juta lagi, selain cubaan mengeluarkan keuntungan menerusi aplikasi itu tidak berjaya.
Dalam kes berasingan, beliau berkata wanita berusia 60 tahun telah mengalami kerugian lebih RM333,000 setelah diperdaya menerusi panggilan telefon oleh individu, kononnya ejen sebuah syarikat insurans.
Yahaya berkata, pesara itu diberitahu terdapat individu telah membuat tuntutan insurans atas namanya, namun mangsa telah menafikan sebelum menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai “sarjan Zaidi”.
“Dia dimaklumkan telah terlibat dengan pengubahan wang haram melibatkan akaun BSN berjumlah RM2.8 juta, tetapi menafikan kerana tidak pernah mempunyai akaun bank itu.
“Namun, mangsa telah diarahkan untuk ke bank bagi menukarkan nombor telefon yang telah diberikan sebelum suspek meminta wanita itu memasukkan wang milik mangsa ke akaun diberikan untuk siasatan Bank Negara,” katanya.
Yahaya berkata, mangsa juga diarahkan membuat pinjaman wang di bank dan telah menjual barang kemas miliknya sebelum memasukkan wang ke akaun diberikan suspek.
Mangsa kemudian menyedari perbuatan berkenaan ialah sindiket penipuan setelah diminta untuk memasukkan wang lagi, katanya.
Kedua-dua mangsa katanya, masing-masing telah membuat laporan di IPD Temerloh dan Raub semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.