
Kedua-dua perhimpunan itu dijadualkan berlangsung di tempat dan masa yang sama iaitu di hadapan Menara Kinabalu pada 2 petang, malah turut berlangsung Karnival Ria di kawasan sama.
Namun, polis antaranya dari IPK Sabah, IPD Kota Kinabalu serta Batalion 16 dan 21 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya memastikan tiga acara itu tidak bertembung antara satu sama lain yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Terdahulu, kira-kira 200 peserta perhimpunan Gempur Rasuah Sabah anjuran Suara Mahasiswa berkumpul di hadapan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum berarak kira-kira 3.4km dan tiba di hadapan Menara Kinabalu, pada 3.10 petang.
Pasukan polis menghalang peserta memasuki kawasan hadapan Menara Kinabalu kerana pelbagai acara sempena Karnival Ria yang dianjurkan kerajaan Sabah sedang berlangsung dan peserta dinasihatkan melakukan aktiviti mereka secara aman.
Kira-kira 15 minit kemudian, peserta Himpunan Bangkit Sabahan terdiri beberapa NGO tiba di kawasan sama yang terlebih dahulu dihalang polis dan dua kumpulan itu dipisahkan hanya dalam jarak kira-kira 100m.
Kedua-dua kumpulan itu kemudian masing-masing mengadakan ceramah menggunakan pembesar suara dan menaikkan sepanduk serta bendera, sambil diawasi ketat polis.
Peserta dalam perhimpunan Gempur Rasuah Sabah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai gejala rasuah di Sabah, manakala Himpunan Bangkit Sabahan pula menyuarakan kebimbangan terhadap anasir cuba mengganggu-gugat ketenteraman awam di negeri ini, selain menyokong kerajaan negeri semasa.
Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda antara yang dilihat sibuk mengurus pergerakan anggota polis, namun sempat berbual seketika dengan pengamal media selain memberi nasihat supaya menjaga keselamatan.
Beliau bagaimanapun enggan ditemu bual dan memohon ruang untuk menyelesaikan tugasnya.
Presiden Suara Mahasiswa Muhamad Fadhil Kasim, berkata ketika tiba di kawasan itu mereka awalnya terkejut dengan kawalan ketat pihak polis, namun keadaan terkawal dan mereka berhimpun secara aman di kawasan itu.
“Pihak polis bukan lawan kami, mereka juga rakyat sama seperti kami. Kami hanya ingin menyatakan suara menentang rasuah dan korupsi,” katanya ketika ditemui pemberita.